Jenis-Jenis Penyakit

  1. PENYAKIT JANTUNG

    Pengenalan

    Jantung merupakan organ yang istimewa. Jantung sangat penting untuk kehidupan, jantung berfungsi untuk mengepam darah yang mengandungi oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh badan. Jantung yang sihat membolehkan kita hidup bergembira, aktif dan ceria. Jika kita memiliki jantung yang tidak sihat maka kesemua nikmat kehidupan ini akan hilang serta merta. Oleh itu janganlah mengambil mudah tentang jantung kita.

    Simptom

    Penyakit jantung iskemia (Ischaemic Heart Disease) juga dikenali sebagai penyakit jantung koronari. Penyakit ini adalah disebabkan oleh kekurangan bekalan darah kepada otot jantung. Kekurangan darah yang berterusan kepada jantung akan menyebabkan kematian otot-otot jantung dan jika keadaan bertambah teruk boleh menyebabkan kegagalan jantung untuk berfungsi dan seterusnya kematian mengejut. Antara sindrom penyakit jantung iskemia adalah angina pektoris dan infarksi miokardia.

    Kesan

    Angina pektoris merupakan tanda awal seseorang itu mendapat penyakit jantung iskemia. Tanda-tanda awal angina pektoris adalah rasa sakit di dada sebelah kiri yang disebabkan oleh kekurangan bekalan oksigen. Kadangkala pesakit mengadu sakit di bahagian perut (epigastrik). Serangan angina pektoris boleh berlaku semula apabila pesakit melakukan aktiviti berat atau ketika pesakit mengalami tekanan (stres) kerana pada keadaan tersebut jantung memerlukan oksigen yang tinggi. Bagaimanapun, kesakitan ini akan hilang di dalam masa kurang dari setengah jam apabila pesakit memberhentikan aktiviti berat dan berehat. Infarksi miokardia adalah suatu keadaan di mana sebahagian otot jantung menjadi rosak dan mati akibat dari kekurangan bekalan darah yang teruk ke bahagian tersebut. Tanda-tanda infarksi miokardia adalah : • Sakit dada biasanya berlaku di sebelah kiri dada dan akan merebak ke bahagian lengan, leher dan bahu kiri. Pesakit biasanya merasa tidak selesa di dada atau merasa seakan-akan sesuatu benda yang berat sedang menimpa dan menekan ke dada dan kadangkala seolah dada berasa ketat. • Sukar bernafas • Pening kepala • Muntah.

    Pencegahan

    Senaman merupakan cara paling mudah untuk kita memiliki jantung yang sihat. Dengan hanya berjalan selama 30 minit sehari kita boleh memiliki jantung yang sihat. Aktiviti-aktiviti lain yang boleh juga di amalkan ialah berjoging, berenang, berbasikal dan bersukan. Berkebun dan melakukan kerja-kerja rumah juga boleh menyihatkan jantung anda. Senaman boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung : • Ia memperkuat dan meningkatkan keupayaan otot-otot jantung serta mengurangkan bebanan pada jantung anda • Ia menambah penerokaan pembuluh-pembuluh darah dan seterusnya meningkatkan kemasukan oksigen ke dalam otot-otot jantung • Ia meningkatkan paras kolesterol pelindung penyakit jantung yang dikenali sebagai ‘kolesterol berketumpatan tinggi’ (HDL) • Ia membantu mengawal berat badan dengan membakar kalori yang berlebihan • Ia mengurangkan tekanan darah bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi • Ia mengurangkan ketegangan yang disebabkan oleh tekanan perasaan • Ia membantu anda tidur dengan nyenyak.

    10 petua bagi memiliki jantung yang sihat :
    1. Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap kali
    2. Makan secara teratur dan seimbang
    3. Kekalkan berat badan unggul
    4. Tidak merokok
    5. Menangani tekanan perasaan
    6. Mengawal tekanan darah
    7. Mengawal paras gula (glukosa) dalam darah
    8. Mengawasi paras kolesterol
    9. Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala
    10. Mengutamakan kesihatan jantung anda pada setiap masa.

  2. KENCING MANIS

    Pengenalan

    Kencing manis atau diabetes melitus ialah sejenis penyakit di mana badan mengeluarkan terlalu sedikit insulin atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah melebihi paras normal. Insulin pula adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam badan untuk mengekalkan paras normal gula. Akibat dari hormon insulin yang tidak mencukupi atau tidak berkesan maka gula tidak dapat memasuki dalam sel-sel badan dan seterusnya mengakibatkan paras gula darah yang tinggi. Penyakit kencing manis boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit jantung. Diabetes yang tidak terkawal akan mempercepatkan penyempitan saluran darah dan juga boleh mengakibatkan penyakit jantung koronari.

    Simptom

    Tanda-tanda kencing manis adalah : · Kerap dahaga · Kerap kencing · Susut berat badan walaupun berselera makan · Terasa letih dan lesu · Luka atau cedera yang lambat sembuh · Gatal-gatal terutama di bahagian kemaluan.

    Kesan

    Penyakit kencing manis yang tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kesan yang lebih serius. Antara kesannya ialah : · Kegagalan buah pinggang · Serangan jantung · Kebutaan / Katarak · Koma (hilang kesedaran) · Angin ahmar (strok) · Sakit saraf atau “mati pucuk” · ‘gangrene’ atau anggota tubuh mati/membusuk.

    Pencegahan

    Kaedah pencegahan yang berkesan adalah : · Mempunyai berat badan unggul · Makan pelbagai jenis makanan · Makan mengikut umur dan aktiviti fizikal · Makan lebih buah-buahan, sayur-sayuran kekacang dan bijirin · Makan dengan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit · Selalu melakukan senaman.

  3. DARAH TINGGI

    Pengenalan

    Hipertensi atau darah tinggi merupakan masalah kesihatan utama di kalangan penduduk dewasa dan warga tua. Penyakit darah tinggi berlaku akibat tindak balas tidak normal salur darah yang menyebabkan tekanan darah meningkat melebihi daripada biasa. Tekanan darah ialah satu ukuran kekuatan yang diperlukan untuk mengalirkan darah ke seluruh badan melalui salur nadi dan pembuluh darah. Tindakan mengepam oleh jantung menghasilkan tekanan dan tekanan ini di namakan tekanan darah. Penyakit darah tinggi berlaku apabila tekanan darah sewaktu bekerja naik dan kekal walaupun ketika berehat. Tekanan darah diukur dalam unit (mm raksa) dan terbahagi kepada dua ukuran iaitu sistolik dan diastolik. Tekanan darah tinggi berlaku apabila tekanan sistolik melebihi 160 mmHg dan diastolik 95 mmHg.

    Simptom

    Majoriti dari pesakit tidak mempunyai sebarang gejala, dan tanda-tanda hipertensi biasanya dikesan semasa pemeriksaan rutin. Tanda dan gejala yang boleh dialami adalah : · Sering sakit atau pening kepala · Sakit tengkuk · Pitam atau pengsan.

    Kesan

    Kesan penyakit darah tinggi adalah : · Strok · Kebutaan · Kegagalan buah pinggang · Serangan jantung.

    Pencegahan

    Penyakit darah tinggi merupakan penyakit yang datang secara senyap. Ianya tidak menunjukkan gejala dan simpton-simpton yang jelas. Hanya dengan melakukan pemeriksaan tekanan darah sahaja maka kita dapat mengetahui tahap tekanan darah masing-masing. Pemeriksaan tekanan darah adalah mudah, tidak mahal dan cepat. Ia boleh dibuat di pameran kesihatan, klinik dan hospital. Mesin ini juga mudah didapati di farmasi dan kedai-kedai tertentu. Kita juga boleh memeriksa tekanan darah kita sendiri di rumah.

  4. BAHAYA MEROKOK

    Pengenalan

    Terdapat 40 jenis penyakit yang di kaitkan dengan merokok iaitu penyakit jantung, kanser peparu, radang pernafasan, strok, paru-paru kembang, kerencatan bayi, keguguran, reput tulang (osteoporosis), kemandulan, ulser perut dan beberapa kanser lain. Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya menyebabkan penyakit kanser.Peratusan merokok haruslah dikurangkan kerana merokok akan menyebabkan jangka hayat seseorang perokok berkurangan. Satu daripada dua perokok akan mati lebih awal oleh kerana penyakit yang berkait dengan merokok. Merokok juga membunuh hampir 5,000 rakyat Malaysia setiap tahun.

    Simptom

    Kenapa merokok merbahaya? Apabila seseorang itu merokok, ia akan menyedut asap dan racun itu ke dalam saluran udara dan ke setiap bahagian paru-paru. Asap rokok amat berbahaya kerana ianya mengandungi lebih 4,000 racun berbahaya termasuk : × Tar – penyebab kanser × Nikotin – menyebabkan ketagihan, meningkatkan tekanan darah dan kolesterol × Karbon Monoksida – mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen dan menyebabkan sukar bernafas serta cepat letih × Bahan Iritasi – menyebabkan kejadian sesak nafas dan batuk yang kronik.

    Kesan

    Merokok boleh menyebabkan diri anda mengidap : · Penyakit jantung koronari · Kanser / Barah (terutama kanser paru-paru & mulut) · Tekanan darah tinggi · Angin ahmar (strok) · ‘Gastrik’ (perut) · Penyakit paru-paru kronik.

    Pencegahan

    Petua 8 M untuk mengatasi keinginan merokok :
    1. Melengahkan nyalaan api
    2. Menarik nafas panjang
    3. Minum air
    4. Membuat sesuatu
    5. Mengunyah sesuatu (elakkan yang manis)
    6. Mandi dan basuh tangan
    7. Melakukan senaman atau regangan
    8. Memohon doa.

  5. ANGIN AHMAR

    Pengenalan

    Strok atau angin ahmar merupakan masalah kesihatan yang diakibatkan oleh salur darah otak yang tersumbat atau pecah seterusnya menyebabkan pendarahan. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan kematian sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terjejas, seperti fungsi otak berkaitan dengan percakapan, penglihatan dan / atau pergerakan seseorang. Penyakit Angin Ahmar merupakan punca utama kematian di kebanyakkan negara. Di Malaysia, penyakit ini adalah antara 10 penyebab utama kematian di kebanyakkan hospital. Angin Ahmar berlaku apabila saluran darah yang membawa Oksigen (O2) dan zat makanan (nutrien) ke otak tersumbat atau pecah. Apabila keadaan saluran darah ini terputus maka sel-sel saraf ini akan mati. Ini seterusnya akan menyebabkan bahagian badan yang di kawal oleh sel-sel saraf ini tidak dapat berfungsi. Apabila sel-sel otak ini rosak dan tidak dapat berfungsi maka ianya tidak dapat diganti lagi. Kebiasaannya kesan serangan Angin Ahmar ini adalah kekal.

    Simptom

    Apabila anda mempunyai tanda-tanda seperti berikut, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. • Badan lemah, kebas atau lumpuh di bahagian muka, tangan atau sebahagian badan • Pemandangan menjadi gelap atau hilang penglihatan • Tidak boleh bercakap atau menghadapi masalah bercakap serta sukar memahami percakapan orang lain • Sakit kepala yang mendadak tanpa ada sebab-sebab yang jelas • Pening dan tidak dapat mengimbangkan badan (terjatuh). Majoriti dari pesakit tidak mempunyai sebarang gejala-gejala strok. Selalunya tanda-tanda strok dapat dikesan semasa pemeriksaan rutin. Bagaimanapun tanda-tanda dan gejala-gejala yang boleh dialami adalah : · Pening kepala (kepala/keadaan sekitar seperti berpusing) · Pitam atau pengsan · Anggota badan iaitu tangan dan kaki merasa kebas atau lemah atau kedua-duanya sekali.

    Kesan

    Strok berlaku apabila salur darah di dalam otak tersumbat. Apabila tersumbat maka darah tidak dapat mengalir dan seterusnya bekalan oksigen tidak dapat di bawa oleh darah. Ianya juga akan mengakibatkan tisu otak mati dan tidak berfungsi. Strok juga berlaku akibat tekanan terlalu tinggi di mana ia akan mengakibatkan salur darah dalam otak pecah.

    Pencegahan

    Jika anda mempunyai faktor-faktor berikut, peluang anda untuk mendapat penyakit Angin Ahmar adalah tinggi.
    1. Tekanan darah tinggi yang tidak di kawal.
    2. Merokok.
    3. Menghidap penyakit jantung.
    4. Paras kolesterol yang tinggi.
    5. Meghidap penyakit kencing manis (diabetes melitus) yang tidak di kawal.
    6. Tidak bersenam.
    7. Mempunyai tahap tekanan mental yang tinggi.
    8. Meminum minuman beralkohol.

  6. KANSER

    Pengenalan

    Kanser merupakan kumpulan penyakit yang terdiri dari 210 jenis penyakit. Kanser adalah antara 10 penyebab utama kematian. Di Malaysia, anggaran penduduk yang mendapat kanser adalah 150 daripada 100,000 penduduk. Manakala bagi kes-kes yang baru ialah sekitar 27,000 setiap tahun. Kanser boleh di elakkan melalui perubahan gaya hidup dan keadaan persekitaran yang baik. Tubuh badan kita mempunyai jutaan unit yang di panggil sel. Kanser pula adalah penyakit yang berkaitan dengan sel. Secara normal sel akan mati akibat peningkatan umur atau mengalami kecederaan, tubuh badan kita akan mengantikan sel ini dengan jumlah dan jenis sel yang betul. Kadang kala sel-sel ini akan terus berkembang dan bertambah tanpa henti. Sel yang tidak normal ini dinamakan tumor. Tumor ini akan mengelilingi sel dan mengambil khasiat daripada sel. Tumor ini mungkin adalah kanser. Sel-sel kanser ini akan berkembang dan tersebar ke organ badan yang lain melalui saluran darah dan limpa. Punca sebenar kebanyakkan penyakit kanser tidak di ketahui. Walaubagaimanapun 90% penyakit kanser adalah disebabkan oleh keadaan persekitaran dan cara hidup seseorang individu tersebut.

    Simptom

    9 Tanda Amaran Kanser : · Mengalami batuk yang berterusan serta kahak berdarah · Merasa sakit / ketidakselesaan di bahagian perut yang berterusan · Mengalami pendarahan pada bahagian hidung dan pekak atau masalah pendegaran/ berdengung · Mempunyai suara yang serak atau garau lebih dari 2 minggu · Mempunyai luka / benjol di dalam mulut yang berwarna merah atau putih · Mengalami ketumbuhan atau benjolan di sekitar leher · Mengalami perubahan dalam amalan membuang air besar · Benjolan atau sebarang perubahan di bahagian payudara · Pendarahan yang keterlaluan di bahagian kemaluan wanita antara tempoh haid atau selepas putus haid.

    Pencegahan

    Kebanyakkan jenis kanser boleh di elakkan dengan menjalani gaya hidup yang sihat. Setiap orang boleh mengurangkan risiko kanser dengan menjalani cara hidup seperti berikut :
    1. Memilih untuk tidak merokok dan menjauhi dari perokok.
    2. Mengambil pemakanan yang mengandungi diet seimbang. Mengurangkan pengambilan lemak dan memakan lebih sayuran dan buah-buahan. Contoh yang mudah adalah menurut piramid makanan.
    3. Mengekalkan berat badan yang seimbang iaitu mempunyai unit BMI 20 hingga 25. Melakukan senaman secara tetap iaitu 3 kali seminggu dengan 30 minit setiap sesi.
    4. Mengelakkan perbuatan seks secara rambang.
    5. Tidak mengambil minuman beralkohol.
    6. Mengambil suntikan Hepatitis B.
    7. Tidak mengambil sirih dan tembakau terutama kepada individu yang berumur 50 tahun ke atas.
    8. Sentiasa melakukan pemeriksaan payudara.
    9. Sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik dan hospital.

  7. ASMA

    Pengenalan

    Asma atau biasanya disebut sebagai semput atau lelah, merupakan sejenis penyakit paru-paru yang terjadi akibat radang dan penguncupan saluran pernafasan. Orang yang mengalami penyakit asma akan menunjukkan beberapa tanda atau gejala tertentu. Di antara tanda-tanda yang boleh diperhatikan termasuklah pernafasan yang berbunyi seolah-olah orang bersiul (wiz), terutama sekali apabila pesakit itu menghembuskan nafasnya. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah alahan, walaubagaimanapun tidak semua pesakit asma mempunyai masalah ini. Alahan dipercayai dapat meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mendapat serangan asma. Di kalangan pesakit asma dianggarkan lebih kurang 80 peratus kanak-kanak dan 50 peratus orang dewasa mengalami masalah alahan. Selain itu, pesakit asma yang mempunyai masalah alahan lebih mudah mengalami serangan asma. Serangan asma yang dialami tidak semestinya sama bagi setiap individu. Ada yang hanya mengalami sedikit sesak nafas manakala yang lain mungkin mengalami sesak nafas yang teruk setiap hari. Segelintir pesakit asma mengalaminya dalam masa yang singkat manakala ada pula yang mengalami secara berterusan untuk beberapa hari lamanya. Selain itu ada pesakit yang akan mengalami keadaan yang mencemaskan manakala yang lain hanya mengalami sedikit gangguan keselesaan bernafas sekali sekala. Keadaan sebegini menunjukkan bahawa asma merupakan sejenis penyakit yang tidak menentu dan ini secara tidak langsung menerangkan mengapa penyakit asma sukar difahami dan dikawal.

    Simptom

    Tanda-tanda penyakit Asma ialah : · Batuk dan berkahak · Nafas berbunyi “wiz” · Dada berasa ketat · Gangguan pernafasan yang teruk · Sukar bernafas.

    Kesan

    Punca sebenar terjadinya asma atau siapa yang akan menghidap penyakit ini tidak dapat dipastikan. Namun begitu, apa yang jelas ialah, serangan asma berlaku apabila terdapat perubahan di dalam saluran pernafasan. Perubahan yang dimaksudkan adalah inflamasi atau bengkak yang seterusnya mengakibatkan saluran pernafasan menguncup dan peka terhadap rangsangan luar.

    Pencegahan

    Faktor Penyebab Asma : ·
    1. Alergi. Alergi ini terjadi melalui saluran pernafasan di mana bahan-bahan seperti debunga, hama, debu dan kulat. Selain itu juga bahan alergi seperti bulu haiwan peliharaan adalah pencetus Asma. ·
    2. Jangkitan virys. Jangkitan ini selalunya terjadi di kalangan kanak-kanak. Antara virus yang telah di kenal pasti adalah rhino, adeno, parainfluenza dan influenza. ·
    3. Jenis pekerjaan. Seseorang yang bekerja dalam industri seperti plastik, percetakan, cat, bahan pengilap, elektronik, logam dan kayu/papan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat Asma. ·
    4. Ubat-ubatan. Ubat-ubatan yang di laporkan sebagai faktor Asma seperti aspirin, dextran, hydrocortisone dan penicillin. ·
    5. Makanan dan minuman. Makanan yang boleh menyebabkan Asma adalah seperti kekacang, susu, telur, minuman cola, pengawet, monosodium L-glutamate dan alkohol. ·
    6. Emosi. Seseorang yang ketawa atau menagis secara keterlaluan juga boleh menggalakkan Asma. ·
    7. Persekitaran. Bahan-bahan seperti asap rokok, asap kayu, semburan minyak wangi dan cat baru boleh juga menyebabkan Asma. ·
    8. Senaman. Senaman yang bertenaga seperti lumba lari, bolasepak juga merupakan pencetus Asma. ·
    9. Cuaca. Cuaca yang terlalu sejuk dan lembap boleh menyebabkan Asma.

  8. OBESITI

    Pengenalan

    Obesiti merupakan satu keadaan dimana seseorang itu mempunyai berat badan yang berlebihan dan tidak terkawal. Obesiti meningkatkan risiko untuk seseorang mendapat penyakit kronik. Secara amnya, obesiti terjadi disebabkan oleh pengumpulan lemak berlebihan di pelbagai bahagian tubuh seseorang sehingga mengakibatkan pertambahan berat tubuh yang tidak normal. Tidak semua orang yang obes makan lebih banyak daripada jumlah yang dimakan oleh individu yang berat tubuhnya normal, tetapi yang pastinya ialah orang obes makan lebih banyak daripada apa yang diperlukan oleh tubuhnya.

    Simptom

    Secara saintifiknya obesiti terjadi akibat pengambilan kalori yang tinggi melebihi daripada keperluan harian. Pengambilan kalori adalah berbeza-beza mengikut individu, individu yang bekerja di sektor pembinaan mempunyai keperluan kalori yang tinggi berbanding pekerja di pejabat. Individu yang telah berumur 66 tahun perlu mengurangkan pengambilan kalori berbanding dengan peringkat remaja. Berikut adalah faktor utama penyebab obesiti : Genetik atau keturunan – Obesiti merupakan penyakit kronik yang mempunyai perkaitan langsung dengan faktor keturunan. Jika seseorang individu itu mempunyai ibu bapa yang obes, kemungkinan besar untuk individu tersebut akan mewarisi obesitinya. Gaya hidup – Salah satu faktor yang lebih kuat ialah gaya hidup. Ibu bapa yang obes akan menurunkan gaya pemakanan yang tidak sihat itu kepada anak mereka. Contohnya jika pemakanan harian sesebuah keluarga itu terdiri dari pengambilan lemak yang tinggi maka anak tersebut akan turut mengambil makanan tersebut dan seterusnya menyebabkan obesiti. Pemakanan – Kualiti makanan yang diambil juga merupakan penyebab obesiti. Makanan yang telah di proses kebanyakkannya mempunyai kadar gula dan lemak yang tinggi. obesiti boleh dielakkan dengan mengurangkan pengambilan makanan yang telah diproses seperti makanan segera, makanan dalam tin dan lain-lain lagi. Kurang aktiviti senaman – Obesiti juga boleh disebabkan oleh kadar aktiviti yang kurang. Seseorang yang kurang bersenam dan kurang melakukan aktiviti lebih mudah untuk mendapat obesiti. Di dalam keadaan yang serba selesa pada masa kini juga boleh menyebabkan obesiti. Sakit – Didalam kes-kes tertentu obesiti boleh disebabkan oleh sesuatu penyakit seperti hypothyroidism atau sindrom Cushing. Selain itu juga, pengambilan beberapa jenis ubat tertentu boleh menyebabkan obesiti.

    Kesan

    Kaitan Obesiti dengan penyakit : · Sistem jantung – tekanan darah tinggi, sakit jantung koronari dan salur darah tersumbat · Sistem perkumuhan – cirit-birit dan lemak di bahagian hati · Sistem pernafasan – kesukaran bernafas dan tidur berdengkur/ apnea tidur · Perempuan mengandung – masalah ketika bersalin · Bahagian dada – kanser payudara · Bahagian pembiakan wanita – kanser pangkal rahim · Bahagian kulit – jangkitan bakteria dan kulat · Bahagian saraf. – tekanan mental, rasa rendah diri dan strok.

    Pencegahan

    Mengawal dan menurunkan berat badan bagi orang yang obes dapat mengurangkan risiko penyakit seperti di atas. Walaubagaimanapun, jika pengurangan berat badan yang tidak secara betul, ia menjejaskan kesihatan. Ikuti nasihat berikut semasa anda mencuba mengurangkan berat badan : · Jangan jadikan diri anda terlalu kurus. · Jangan memakan makanan diet yang tidak diketahui mutu pemakanannya yang dijual di pasaran tanpa nasihat doktor. · Jangan memakan dadah (pil diet) tanpa pengawasan doktor. · Jangan menguruskan badan secara tiba-tiba. berat maksimum yang boleh dikurangkan ialah 2 kg pada minggu pertama dan 1 kg pada minggu berikutnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: