Akademik

Advertisements
  1. Petikan :Harian Metro Isnin, 05 Januari 2009
    SMK Kubang Bemban muncul sekolah terbaik bagi kategori luar bandar dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah

    BIARPUN dilabel sekolah kampung, sebilangan besar pelajarnya agak petah serta fasih berbahasa Inggeris, malah mampu menjawab semua soalan peperiksaan dalam bahasa pengantara kedua itu, sama seperti rakan sebaya mereka yang bersekolah di bandar besar.

    Berpaksikan pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’, sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Rancangan Khas (SRK) Luar Bandar itu terus mengorak langkah, mencipta nama di persada pendidikan negara.
    Sebaik Pengetuanya, Norashimah Ab Rashid, 50, ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, dekat Pasir Mas, Kelantan itu pada Oktober 2006, selepas ditukarkan dari SMK Baroh Pial, Rantau Panjang, pelbagai pembaharuan dan pendekatan mengejut dilakukan.

    Bukan hanya guru, pembaharuan yang dilakukan oleh pengetua yang ditauliahkan Anugerah Pengetua Cemerlang DG52, Februari tahun lalu itu turut membabitkan pelajar sekolah berkenaan.

    Paling ketara, beliau yang juga anak watan Pasir Mas itu mewajibkan semua pelajar daripada tingkatan satu hingga lima termasuk guru menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara utama di sekolah.

    Malah, beliau turut meminta pelajar agar menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris, biarpun peperiksaan terbabit adalah ujian bulanan.

    Ramai pelajar terkejut selain terpaksa menggunakan kamus dwibahasa sebagai pedoman memandangkan mereka sebelum ini, lebih suka menggunakan dialek Kelantan sebagai bahasa pengantara antara rakan dan guru.

    Namun, masalah itu tidak berpanjangan apabila mereka dapat menguasai bahasa itu secara baik, sekali gus membolehkan prestasi subjek Bahasa Inggeris naik secara mendadak.

    Kecemerlangan itu jelas terbukti apabila SMK Kubang Bemban muncul sekolah terbaik bagi kategori luar bandar dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini, selepas mencatatkan keputusan lulus 100 peratus.

    Sekolah terbabit menduduki tempat kelima di negeri ini selepas Sekolah Menengah (SM) Tengku Faris Petra, Pengkalan Chepa; SM Sains Machang; SM Sains Pasir Puteh dan SM (Agama) Naim Lil Banat.

    Menakjubkan, 276 calon PMR di sekolah terbabit menjawab semua soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris dan daripada jumlah itu, 127 orang mendapat keputusan 8A; 59 (7A); 34 (6A) dan 27 (5A).

    Agak jarang sekolah luar bandar mencatatkan keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris tetapi tidak bagi SMK Kubang Bemban apabila bilangan pelajarnya yang mendapat pangkat A seramai 167 orang diikuti B (97) dan C (12).

    Namun, itulah penangan hebat yang dilakukan Norashimah demi memberi pendidikan terbaik kepada anak didiknya walaupun perkara yang dilakukan itu agak drastik.

    Norashimah akui pada awalnya, ramai pelajar kekok serta malu-malu untuk berbahasa Inggeris, malah ada bertutur tunggang terbalik sebaik berdepan dengannya.

    Katanya, pelajar terbabit tidak terus didenda atau dimarahi, sebaliknya diajar mengenai prosa kata serta cara penggunaan bahasa Inggeris yang betul.

    “Itulah sebahagian rahsia kejayaan calon PMR kami, selain semangat berpasukan yang ditonjolkan guru sekolah dalam penyediaan kelas tambahan dan kelengkapan lain termasuk sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang diterajui Hanafi Mamat.

    “Hakikatnya, kecemerlangan itu sebenarnya berpunca daripada pelajar itu sendiri apabila mereka bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran apabila ketika peperiksaan percubaan PMR lalu, 11 orang saja berjaya mendapat 8A,” katanya.

    Menurutnya, pelajar tingkatan dua yang dikenal pasti lemah berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun akan dimasukkan ke kelas pemulihan selama tiga bulan sebaik mereka melangkah masuk ke tingkatan tiga.

    Beliau sendiri membuat analisis satu persatu terhadap setiap calon PMR sekolahnya selepas keputusan percubaan peperiksaan terbabit kurang memberangsangkan melalui konsep ‘ibu dengan anak’ bagi mencari puncanya.

    “Selain diwajibkan solat Zuhur berjemaah di sekolah, calon PMR diminta membaca Asma Ul-Husna setiap hari diikuti bacaan surah Yasin (Khamis) dan sebulan sebelum peperiksaan, mereka diminta menunaikan solat hajat secara bersendirian di sekolah sebelum dibenarkan masuk ke kelas masing-masing.

    “Pelajar terbabit juga diwajibkan setiap hari memohon restu serta doa daripada ibu bapa bagi memberkati pembelajaran mereka, selain dilarang sama sekali menderhaka terhadap mereka,” katanya sambil mengakui 80 peratus pelajarnya adalah daripada golongan miskin dan kurang berada.

    Penyelaras Kecemerlangan tingkatan tiga, Zahariah Ismail, 43, pula berkata, konsep pembelajaran yang diamalkan di sekolah itu agak berbeza apabila setiap guru akan menghabiskan semua sukatan pelajaran pada akhir Mac.

    “Selepas itu, latih tubi dilakukan setiap guru subjek sehingga sebulan sebelum peperiksaan. Sekolah ini juga tidak pernah mengamalkan soalan ‘jangkaan’, sebaliknya menggunakan soalan yang ada dalam buku teks sebagai panduan serta rujukan,” katanya.

  2. Tahniah di ats kecemerlangan…teruskan usaha murni ini…

  3. SOALAN PERCUBAAN PMR 2009 NEGERI SABAH

    Kepada para pendidik dan pelajar yang berhasrat mendapatkan koleksi soalan percubaan PMR2009 dan skema bagi Negeri Sabah bolehlah melayari laman blog berikut :

    SMK Wakuba, Tawau Sabah

  4. HALA TUJU SELEPAS PMR
    Oleh Suliati Asri

    ADA yang menangis gembira, ada yang sedih, meraung atau sekadar berdiam diri di sudut sunyi selepas menerima keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Khamis lalu.

    ADA yang menangis gembira, ada yang sedih, meraung atau sekadar berdiam diri di sudut sunyi selepas menerima keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Khamis lalu.

    Mereka yang lulus cemerlang pasti sudah mencongak sekolah asrama penuh atau tingkatan empat aliran sains, sastera dan perdagangan.

    Bagi yang gagal, adakah perlu mengulang semula atau mencari peluang lain yang berbentuk kemahiran atau teknikal?

    Ke arah mana hala tuju mereka selepas ini?

    Ketika inilah kebijaksanaan memilih penting kerana jika

    tersilap, ia akan memberi kesan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), malah peluang ke menara gading.

    Jika minat untuk belajar masih membara, teruskan perjuangan ke tingkatan empat atau sekolah asrama penuh.

    Namun, jika semangat belajar tinggal nyawa-nyawa ikan, lebih baik memilih bidang lain yang ada kaitan dengan kemahiran atau teknikal.

    Penolong Pengarah Unit Kaunseling, Sektor Kaunseling dan Disiplin, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan, berkata ketika ini pelajar tiada masalah menentukan aliran atau sekolah yang diinginkan untuk meneruskan pembelajaran di tingkatan empat.

    Beliau berkata, semua pelajar tahu untuk memilih kesesuaian aliran berdasarkan kecenderungan diri atau minat kerana kementerian sudah memberi panduan kepada mereka selepas selesai menempuhi peperiksaan PMR.

    “Selepas peperiksaan PMR, pelajar digalakkan mengikuti kursus untuk mengetahui kecenderungan mereka sama ada akademik atau kemahiran.

    “Selepas mendapat keputusan PMR, pelajar sudah tahu hala tuju mereka, tetapi sebarang pemilihan perlu mengambil kira keputusan yang diperoleh,” katanya.

    Kata Raja Mazlan, kebanyakan masyarakat berpendapat bahawa minat adalah sangat penting dalam membuat keputusan kerana jika berminat, pelajar mampu melakukan yang terbaik.

    “Itu benar. Jika pelajar terbabit cenderung kepada kemahiran, dia sepatutnya mengambil bidang itu. Namun, ia juga bergantung kepada keputusan peperiksaan.

    “Ini kerana untuk meneruskan pelajaran di sekolah teknik, ada subjek yang disyaratkan untuk lulus cemerlang, antaranya Kimia dan Fizik.

    “Jika memenuhi syarat terbabit, peluang itu terbuka luas. Tapi jika sebaliknya, mereka perlu akur dan mengambil pilihan lain,” katanya.

    Apa yang penting, katanya, pelajar perlu berjumpa dan berbincang dengan guru kaunseling bagi mengelak membuat pilihan salah.

    Mengulas mengenai keengganan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang mengambil aliran sains atau mana-mana aliran yang dipilih pihak sekolah berdasarkan keputusan mereka, menurut Raja Mazlan, pelajar boleh membuat pertukaran, tetapi mengikut kekosongan yang ada.

    “Perkara ini memang banyak berlaku terutama pelajar Melayu yang takut mengambil aliran sains walaupun memperoleh keputusan cemerlang.

    “Jika tiada kekosongan dan pelajar tetap enggan ke aliran sains, mereka perlu memohon bertukar ke sekolah lain yang menawarkan aliran sastera atau perdagangan,” katanya.

    Untuk mewujudkan kelas mengikut aliran yang dikehendaki, minimum dalam satu kelas itu adalah 15 pelajar.

    Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan jarang berlaku kerana sebaik saja pelajar memulakan sesi persekolahan, mereka sekali lagi perlu mengikuti sesi orentasi khas.

    “Sepanjang orentasi ini, pelajar akan diperkenalkan dengan semua subjek dan aliran satu persatu supaya mereka boleh memilih mengikut kesesuaian, keputusan dan minat.

    “Pihak sekolah akan menentukan kelas yang bersesuaian mengikut keputusan mereka. Tetapi mereka masih boleh memilih apa yang mereka mahu,” katanya.

    Apabila pelajar sudah faham dengan semua subjek yang ada, mereka sekali lagi mengikuti sesi orentasi sebelum membuat keputusan.

    Ia dilakukan supaya mereka benar-benar faham dengan aliran yang bakal mereka ambil dan hala tuju masa depan.

    “Justeru, dilema menentukan aliran atau sekolah untuk meneruskan pembelajaran di tingkatan empat, sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

    enurutnya, dalam menentukan hala tuju pelajar, Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi program Jom Masuk U untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar terutama tingkatan empat hala tuju selepas peperiksaan SPM.

    “Mereka digalakkan mengunjungi pameran pendidikan yang diadakan.

    “Ini membolehkan mereka merancang hala tuju dan pengkhususan yang sesuai dengan aliran yang mereka ambil,” katanya.

    Mengenai keputusan PMR yang diumumkan Khamis lalu, beliau berkata bagi pelajar yang cemerlang, ini adalah permulaan ke arah masa depan lebih gemilang, tetapi jangan terlalu gembira kerana halangan seterusnya ialah SPM. Sementara itu, keputusan PMR 2009 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimudin Mohd Dom, meningkat apabila seramai 28,188 pelajar memperoleh A bagi semua mata pelajaran berbanding 26, 378 tahun lalu.

    Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya. Manakala jumlah calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008.

    Pada tahun ini, 87,936 pelajar melepasi tahap minimum A,B,C,D berbanding 88,565 tahun sebelumnya dan pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun

    lepas.

    Untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat semua A. Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

    Sumber : MyMetro 31/12/2009

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: